RONALDO diasak  Heister (kanan) di Stadium Ferenc Puskas. FOTO Agensi
RONALDO diasak Heister (kanan) di Stadium Ferenc Puskas. FOTO Agensi
Agensi

Budapest: Pemain tengah Ferencvaros mendedahkan superstar Juventus, Cristiano Ronaldo yang dalam keadaan 'mood' tidak baik menolak permintaan bertukar jersi dengannya selepas tamat perlawanan Liga Juara-Juara.

Ferencvaros menentang Juventus pada pertembungan pertama mereka di Budapest dalam aksi Kumpulan G, awal bulan ini.

Perlawanan itu menyaksikan kembalinya Ronaldo selepas berehat hampir tiga minggu susulan dijangkiti Covid-19. Dia terlepas aksi pembukaan menentang FC Barcelona dan kelab Hungary itu juga lawan pertamanya di peringkat Eropah musim ini.

Juve menang 4-1 tetapi mengejutkan apabila tiada satu pun dijaringkan Ronaldo. Penjaring terbanyak Liga Juara-Juara itu membantu kepada jaringan pertama pasukannya tetapi secara keseluruhannya dia kurang menyerlah.

Ronaldo seperti kita ketahui sentiasa membocori gawang lawan tetapi 'moodnya' selepas tamat 90 minit permainan di Stadium Ferenc Puskas menggambarkan kekecewaannya.

''Dia seperti bengang dan marah,'' kata bintang Ferencvaros, Marcel Heister kepada Goal dan SPOX.

''Dia hanya mengangkat tangan dengan kasar ketika ditanya mengenai pertukaran jersi. Mungkin kerana dia gagal menembusi gawang kami.

''Mungkin juga sebab saya merampas bola daripadanya ketika dia cuba mengawal bola. Ada gambar aksi itu dan saya memuat naik di Instagram. Ia pengalaman paling indah dalam hidup saya!''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 9:07 PM