SM Muthu.
SM Muthu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung pertengahan bulan depan dibatalkan berikutan situasi pandemik Covid-19 ketika ini semakin membimbangkan. Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, keputusan itu terpaksa diambil demi keselamatan atlet dan pegawai sukan yang terbabit dalam acara berkenaan.

Beliau berkata, walaupun kalendar sukan olahraga tahun ini terpaksa ditutup tanpa sebarang acara kompetitif, pihaknya tetap memantau rapat prestasi atlet sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang.

"Paling awal sebarang pertandingan kompetitif akan berlangsung adalah pada Januari depan, namun ia turut bergantung kepada situasi semasa. "Ketika ini untuk menghantar atlet keluar negara bagi menjalani latihan juga tidak dibenarkan berikutan pintu sempadan ditutup. "Walaupun atlet dahagakan kejohanan kompetatif, perkara terbabit harus diterima demi keselamatan semua pihak," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, selepas hampir empat bulan kembali menjalani latihan, tahap prestasi atlet olahraga negara dinilai menerusi sesi ujian yang diadakan di Trek MSN Bukit Jalil, 7 November lalu.

Seramai 53 atlet menyertai sesi ujian berkenaan membabitkan 11 acara. Atlet olahraga sebelum ini terpaksa menangguhkan latihan susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac sebelum dibenarkan kembali berlatih sejak Julai lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 9:51 PM