HAMILTON julang imej sukan Britain. FOTO AFP
HAMILTON julang imej sukan Britain. FOTO AFP
Agensi

London: Juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray percaya juara Formula 1, Lewis Hamilton berhak menyertainya sebagai wira sukan Britain.

Laporan menyatakan Hamilton yang menyamai rekod tujuh kejuaraan minggu lalu akan dianugerahkan 'knighthood' sempena Tahun Baharu.

"Dari segi pencapaian sebagai atlet sudah tentu dia layak menerimanya," kata Murray, 33, kepada Good Morning Britain.

"Dia salah seorang atlet paling berjaya dalam sukan di negara ini."

Murray yang dianugerahkan 'knighthood' sempena Tahun Baharu 2017 berkata: "Selain berlumba di litar, dia turut terbabit dengan aktiviti sosial, jadi sudah tentu saya berkata dia layak menerimanya berdasarkan pencapaian yang mengagumkan."

Hamilton, 35, yang menerima anugerah MBE pada 2009 baru-baru ini berkata kepada BBC, ia bakal menjadi hari paling gembira jika berpeluang diberi penghormatan sekali lagi oleh Queen.

Minggu lalu, juara F1 1996 dari Britain, Damon Hill berkata, Hamilton 'memusnahkan' semua halangan menerusi pencapaiannya.

"Anugerah 'knighthood' memberi pengiktirafan bukan sahaja kepada dirinya sebagai pemandu yang berkulit hitam malah menjadi penyuntik semangat kepada mereka yang bukan berkulit putih,'' kata Hill yang berusia 60 tahun.

"Dia memusnahkan persepsi yang berpendapat ia sukar direalisasi, ada sesetengah aspek yang anda tidak mampu lakukan kerana warna kulit. Dia sama sekali membuktikan tanggapan itu salah."

Pelumba Inggeris itu memenangi Grand Prix Turki pada 15 November lalu sekaligus mengesahkan kejuaraan ketujuhnya selepas kejayaan pada 2008, 2014, 2015, 2017, 2018 dan 2019.

Dia turut memegang rekod sebagai pelumba paling banyak meraih petak pertama dan pada awal musim ini memintas rekod legenda Jerman, Michael Schumacher dengan 91 kemenangan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 9:56 PM