JAE Hyung (dua dari kiri) mengawasi panahan anak buahnya.
JAE Hyung (dua dari kiri) mengawasi panahan anak buahnya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jelas tanpa sebarang pertandingan kompetitif sejak beberapa bulan lalu menyaksikan atlet memanah gagal mengekalkan rentak konsisten sekali gus memerlukan lebih banyak latihan intensif pada masa akan datang.

Jurulatih kebangsaan, Lee Jae Hyung berkata, situasi terbabit boleh dilihat ketika ketika kejohanan simulasi di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil baru-baru ini sekali gus merangka strategi memastikan setiap kelemahan dapat diatasi.

Beliau mengakui ketiadaan sebarang penganjuran pertandingan sejak beberapa bulan turut menyebabkan atlet gagal mengawal emosi mereka ketika beraksi secara kompetitif.

"Kita boleh melihat prestasi mereka pada kejohanan baru-baru ini kurang konsisten apabila sesi pertama memuaskan, namun gagal mempamerkan aksi cemerlang pada siri kedua.

"Kita memahami situasi berkenaan disebabkan sudah lama tidak menyertai pertandingan sekali gus memerlukan lebih banyak latihan lagi.

"Fokus kita adalah memastikan mereka berjaya ke pentas Olimpik nanti dengan memiliki keupayaan sebenar," katanya, di sini.

Sebelum ini, kejohanan simulasi di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil baru-baru ini menyaksikan Khairul Anuar Mohamad menewaskan rakan sepasukan, Haziq Kamarudin 6-0 pada aksi final recurve individu lelaki.

Saingan recurve individu wanita pula menyaksikan Nurul Azreena Mohamad Fazil menang 7-1 ke atas Nur Ain Ayuni Fozi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:07 PM