CIMB dan AirAsia menyatakan hasrat untuk tidak lagi menaja Liga M musim depan.
CIMB dan AirAsia menyatakan hasrat untuk tidak lagi menaja Liga M musim depan.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan tidak akan berkubur apabila dikhabarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang mengadakan perbincangan bersama beberapa syarikat bagi menggantikan penaja utama yang menarik diri sebelum ini.

Menurut sumber, perbincangan terbabit menunjukkan petanda positif dengan beberapa terma dan syarat baharu sedang dibincangkan sebelum mendapat persetujuan bersama.

Malah, MFL juga akan meneroka platform baharu menerusi atas talian yang dilihat mendapat sambutan menggalakan daripada penyokong bola sepak tanah air apabila Liga M mendapat tontonan jutaan penonton membabitkan beberapa perlawanan sebelum ini.

Katanya, MFL juga tidak menolak kemungkinan akan menerima penajaan daripada syarikat luar negara yang berminat menjalinkan kerjasama dalam merancakkan lagi Liga M pada musim depan.

"Walaupun ramai melihat pengunduran dua penaja utama sebagai malapetaka dalam bola sepak sebenarnya ia sudah dijangka awal dan seterusnya MFL mengadakan perbincangan bersama beberapa syarikat untuk penajaan musim depan.

"Malah, jumlah tontonan yang mencecah jutaan penonton menerusi Youtube pada perlawanan Liga M dan Piala Malaysia turut menarik perhatian beberapa syarikat yang mahu menaja.

"Sekarang ini sememangnya tempoh sukar berikutan pandemik Covid-19 namun tidak bermakna MFL akan mengangkat tangan menyerah kalah kerana itu adalah cabaran yang perlu dihadapi," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, penangan pandemik Covid-19 nyata memberi kesan kepada saingan Liga M apabila dua penaja disahkan menarik diri bermula musim depan.

Perkara itu disahkan MFL apabila CIMB dan AirAsia menyatakan hasrat untuk tidak lagi bersama, sekali gus bakal mengurangkan jumlah tajaan Liga M.

Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan pihaknya tetap akan meneruskan saingan domestik pada musim depan meskipun berdepan kekurangan tajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:00 AM