ICARDI alami kecederaan lutut. FOTO AFP
ICARDI alami kecederaan lutut. FOTO AFP
Agensi

Paris: Paris Saint-Germain akan beraksi tanpa Mauro Icardi dan Pablo Sarabia ketika menentang Manchester United dalam saingan getir Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.

Naib juara musim lalu itu terikat dengan RB Leipzig dan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, United dalam saingan sengit Kumpulan H.

Skuad Thomas Tuchel turut berdepan masalah dalam menampilkan kesebelasan terbaik untuk kunjungan ke Old Trafford selepas Julian Draxler dan Juan Bernat disahkan tidak cergas.

Icardi yang berehat panjang sebelum ini mengalami kecederaan lutut ketika mereka seri 2-2 dengan Bordeaux pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, PSG mengesahkan dalam laman web mereka bahawa penyerang itu terasa sakit di otot kanan ketika sesi latihan dan akan tersisih daripada skuad yang akan berkunjung ke Manchester.

Rakan penyerang, Sarabia turut menjadi pemain gantian pada lewat permainan ketika menentang Bordeaux tetapi dia telah pun berdepan kecederaan otot sebelum ini.

Draxler dan Bernat pula masing-masing tidak tampil dalam perlawanan sejak Oktober dan September. Mereka disahkan tidak dibawa bersama ke Manchester.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 9:05 AM