X
REAKSI Cavani selepas menembusi gawang Southampton. FOTO AFP
REAKSI Cavani selepas menembusi gawang Southampton. FOTO AFP
AFP

London: Edinson Cavani membuktikan keputusan Manchester United menandatanganinya dengan kontrak dua tahun adalah tepat selepas penyerang veteran Uruguay itu menghadiahkan kemenangan di Southampton, kelmarin.

Pemain berusia 33 tahun itu yang masuk sebagai pemain gantian ketika United ketinggalan 0-2 meledak dua gol dan mencipta bantuan jaringan kepada Bruno Fernandes sekali gus mengimbau era gemilang ketika di bawah kendalian Alex Ferguson.

Tetapi kegembiraan Cavani itu dicemari dengan ciapan kontroversinya di Instagram apabila menggunakan perkataan Sepanyol 'negrito' (hitam) sebagai membalas mesej kepada ucapan tahniah kepadanya.

Dia boleh digantung tiga perlawanan domestik oleh Persatuan Bola Sepak (FA) di atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di media sosial.

Bagaimanapun, Cavani masih boleh beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dan berpeluang membalas dendam ke atas bekas kelabnya, Paris Saint-Germain selepas disisihkan juara Perancis itu pada perlawanan di Old Trafford awal pagi Khamis ini.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG itu dibenarkan meninggalkan kelab dengan perpindahan percuma apabila kontraknya tamat pada Jun lalu malah tidak menyaksikan aksi final Liga Juara-Juara pada Ogos.

Cavani pulang ke negaranya dan bekerja di ladang untuk mengekalkan tahap kecergasan sehinggalah United menghubunginya pada hari terakhir jendela perpindahan pada Oktober dan menawarkan kontrak £210,000 (RM1.14 juta) seminggu.

Selepas tujuh bulan 'terperam', Cavani akui dia memerlukan masa menyesuaikan diri di Manchester tetapi impaknya ketika menentang Southampton menunjukkan dia masih memiliki naluri pemusnah yang amat diperlukan skuad Ole Gunnar Solskjaer.

"Memiliki penyudah seperti itu amat penting kepada kami. Kami tidak memilikinya sejak pemergian Romelu (Lukaku). Anthony (Martial), Marcus (Rashford) dan Mason (Greenwood) adalah penyerang yang berbeza. Dia memberikan kami keseimbangan dan kami mahu menggabungkannya, jadi Cavani menyumbangkan impak yang besar."

Kemenangan ke atas Basaksehir kembali mengukuhkan United sebagai pendahulu Kumpulan H selepas tewas mengejut di Istanbul manakala PSG berdepan penyingkiran awal jika mereka tewas kepada United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 11:30 AM