BRITTANY kecewa tak dapat beraksi minggu ini. FOTO AFP
BRITTANY kecewa tak dapat beraksi minggu ini. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemenang dua kejohanan utama, Brittany Lincicome menarik diri daripada LPGA Volunteers of America Classic di Dallas yang berlangsung minggu ini selepas didapati positif Covid-19.

Pemain berusia 35 tahun daripada Amerika Syarikat itu berharap dapat kembali tepat pada masanya untuk menyertai kejohanan utama terakhir musim ini, Terbuka Wanita AS ke-75 pada 10-13 Disember yang berlangsung di Champions Golf Club di Houston.

"Walaupun saya amat berhati-hati, malangnya saya diuji positif Covid-19," kata Brittany dalam Instagram.

"Suami dan anak saya kedua-duanya negatif. Saya kini menjalani kuarantin dan sedang menjejaki senarai kontak yang rapat dengan saya. Saya hanya bergejala ringan tetapi saya sangat kecewa terpaksa menarik diri daripada menyertai Volunteers of America Classic.

"Saya akan kuarantin di rumah mengikut tempoh ditetapkan sehinggalah semuanya selamat untuk saya kembali meneruskan jadual. Saya mendokan anda semua terhindar daripada wabak ini dan saya tak sabar untuk beraksi semula di jelajah."

Kejohanan minggu ini adalah pemanas badan terakhir sebelum Terbuka Wanita AS disusuli kejohanan penutup musim Tour Championship di Tiburon Golf Club di Naples, Florida.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 12:08 PM