RONALDO ayam tambatan Juventus. FOTO AFP
RONALDO ayam tambatan Juventus. FOTO AFP
Agensi

London: Bintang Juventus keliru dengan taktik Andrea Pirlo selepas pasukan itu bergelut meraih kemenangan tanpa superstar Cristiano Ronaldo, menurut laporan hari ini.

Menurut akhbar Itali, Corriere, tempoh bulan madu legenda kelab, Pirlo sudah pun tamat dan pasukan tidak memberi respons kepada taktik pengurus mereka khususnya ketika ketiadaan Ronaldo yang menyaksikan Juventus sukar memenangi perlawanan.

Contoh terkini ialah aksi Sabtu lalu apabila mereka hanya mampu seri 1-1 menentang pendatang baharu Benevento dalam perlawanan menyaksikan penjaring gol, Alvaro Morata diarah keluar padang pada penghujung permainan.

Selepas perlawanan, Pirlo mengesahkan Ronaldo direhatkan sebagai langkah berjaga-jaga dan menggesa pemainnya beraksi dengan cara mereka ketika ketiadaan Ronaldo.

Menurut Pirlo: "Untuk aksi Liga Juara-Juara malam esok, dia ada masalah tetapi dia mengambil keputusan untuk beraksi. Adalah normal seseorang itu letih dan mahu rehat.

"Kali ini giliran Ronaldo, yg lain selepasnya. Ronaldo adalah penambah nilai tetapi apabila dia tiada, kami perlu beraksi dengan cara kami.

"Dia keletihan dan perlukan rehat. Apabila anda beraksi banyak perlawanan dalam jadual padat, ia akan berlaku.

"Real Madrid bergantung kepadanya. Begitu juga Juventus. Dia mampu mengubah perlawanan. Tidak bermakna kami terlalu bergantung kepadanya tetapi ia kerap berlaku dan kami perlu memperbaikinya.''

Penilaian Pirlo itu ada kebenarannya. Juventus tampak terlalu bergantung kepada pemenang lima kali Ballon d'Or itu.

Dalam tujuh perlawanan dalam semua kejohanan dengan kehadiran Ronaldo, Juventus menang lima dan seri dua. Bagaimanapun, dalam lima perlawanan tanpa Ronaldo, mereka hanya menang sekali, seri tiga dan tewas kepada Barcelona.

Mereka akan melayan kunjungan Dynamo Kiyv dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini dan pastinya Ronaldo kembali jadi tumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 1:08 PM