PENALTI  Mueller menewaskan penjaga  gol Atletico, Jan Oblak. FOTO AFP
PENALTI Mueller menewaskan penjaga gol Atletico, Jan Oblak. FOTO AFP
AFP

Madrid: Atletico Madrid terpaksa menunggu untuk memastikan tempat ke saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas pemain gantian Thomas Mueller menjaringkan penalti saat akhir bagi membolehkan Bayern Munich seri 1-1 di Sepanyol.

Joao Felix meletakkan Atletico di depan pada babak pertama sebelum Mueller menjaringkan penalti ketika permainan berbaki empat minit. Keputusan seri itu bermakna Bayern gagal melebarkan rekod 15 kemenangan dalam kejohanan itu.

Skuad Diego Simeone pula hanya menang sekali dalam empat aksi Eropah musim ini walaupun permulaan garang di La Liga tetapi tahu kemenangan bakal membawa mereka ke saingan kalah mati selepas Lokomotiv Moscow tewas 1-3 kepada Salzburg di tempat sendiri.

Sebaliknya finalis 2014 dan 2016 kini perlu mengelakkan kekalahan di tempat lawan apabila menentang juara Austria itu minggu depan.

"Kami beraksi dengan baik tetapi kecewa gagal menang untuk mara,'' kata Felix.

"Kami hampir menang sehinggalah ke minit 85 dan kami memiliki banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya. Mereka hanya mempunyai sedikit sahaja tetapi cukup untuk seri."

Selepas dibelasah 0-4 di Munich pada Oktober lalu, Atletico terlebih dahulu di depan pada minit ke-26 selepas bintang Portugal, Felix menolak bola masuk selepas mendapat hantaran Marcos Llorente.

Jurulatih Bayern, Hansi Flick yang mula menyedari skuadnya di ambang kekalahan kali pertama sejak Mac 2019 memasukkan Mueller dan Serge Gnabry pada babak kedua untuk mencari gol penyamaan dan berhasil selepas mendapatkan penalti apabila Mueller dikasari Felipe.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 9:39 AM