HODGE bersama jersi milik Maradona yang dipakai ketika menewaskan England pada suku akhir Piala Dunia 1986. FOTO Agensi
HODGE bersama jersi milik Maradona yang dipakai ketika menewaskan England pada suku akhir Piala Dunia 1986. FOTO Agensi
AFP

London: Bekas pemain tengah England, Steve Hodge menegaskan jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan dua gol menentang Three Lions pada suku akhir Piala Dunia 1986 tidak akan dijual.

Hodge bertukar jersi dengan Maradona yang meninggal dunia pada usia 60 tahun minggu lalu selepas tamat perlawanan yang menyaksikan legenda Argentina itu menjaringkan gol menggunakan tangan atau lebih dikenali 'Hand of God' disusuli jaringan kedua menakjubkan bagi membantu kemenangan 2-1 pasukannya.

Jersi itu kini dipamerkan di Muzium Bolasepak Kebangsaan di Manchester.

Hodge berkata dia mendapat banyak pertanyaan mengenai jersi itu sejak beberapa hari lalu dan menolak dakwaan dia mahukan angka tujuh digit untuk menjualnya.

"Saya menyimpannya 34 tahun dan tidak pernah berniat menjualnya,'' kata Hodge, 58, kepada BBC. "Saya suka memilikinya, ia mempunyai nilai sentimental yang hebat.''

"Pintu rumah saya diketuk hampir setiap hari dan banyak stesen TV dan radio menghubungi saya malah stesen luar negara.

"Saya menjadi tidak selesa. Saya ada melihat kenyataan di Internet yang mendakwa saya mahu satu juta atau dua juta pound dengan menjualnya.

"Ia tidak hormati saya dan sama sekali salah. Ia bukan untuk dijual dan saya tidak akan cuba menjualnya.''

Hodge mengagumi 'genius' dimiliki salah seorang pemain terhebat dunia dan dia tidak pernah menyalahkan Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan.

"Saya tidak pernah menyalahkan dia walaupun sekali. Sesiapa yang bermain bola sepak tahu perlu sentiasa bekerja keras pada setiap masa.

"Seluruh dunia menghormati dan menghargai 'genius' dimilikinya. Perlawanan itu tidak akan dilupakan dalam sejarah bola sepak."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 10:10 AM