GROSJEAN ketika dirawat di hospital. FOTO Agensi
GROSJEAN ketika dirawat di hospital. FOTO Agensi
Agensi

Sakhir, Bahrain: Romain Grosjean berkata dia terbayangkan kematian ketika terbabit nahas ngeri di Grand Prix Bahrain namun berjaya menyelamatkan diri demi anak-anaknya.

Pelumba Haas dari Perancis itu melecur di belakang tangan selepas terbabas pada kelajuan 137 km sejam di pusingan pertama perlumbaan Ahad lalu.

Grosjean mendapatkan rawatan di hospital di Manama dan dijangka keluar hari ini.

"Sudah tentu saya gembira masih hidup tetapi terdapat juga keperluan untuk kembali ke jentera, mungkin di Abu Dhabi.''

Menurutnya dalam video di Twitter semalam: "Saya akan meninggalkan hospital esok. Saya semakin baik cuma beberapa bahagian yang masih terasa agak sakit. Selepas apa yang berlaku, saya fikir kesakitan itu tidaklah terlalu teruk. Saya gembira masih hidup dan bercakap dengan anda."

Grosjean turut menganggap dia seperti dilahirkan kali kedua selepas terselamat dalam nahas ngeri itu.

"Keluar daripada api sesuatu yang meninggalkan bekas dalam hidup saya selamanya. Ramai sayangkan saya dan ia menyentuh hati saya. Saya hampir keluar air mata mengenangkannya."

"Saya tak tahu sama ada ia keajaiban atau tidak tetapi boleh saya katakan belum masanya untuk mati,'' kata pelumba berusia 34 tahun itu.

"Saya berasakan ia lebih 28 saat. Saya lihat 'visor' saya bertukar oren dan saya nampak api dari sebelah kiri kereta. Saya terbayang banyak perkara termasuk Niki Lauda dan saya fikir tak mahu berakhir seperti itu, bukan sekarang. Saya tak boleh menamatkan kisah Formula Satu saya seperti itu.

"Kemudian, anak saya. Saya berkata kepada diri sendiri supaya keluar segera. Saya letak tangan dalam api, saya rasakan ia mula membakar chasis.

"Saya keluar dan dapat rasakan seseorang menarik saya, jadi saya tahu saya sudah pun keluar daripada kokpit."

Nahas ngeri itu tidak mematahkan semangat Grosjean yang mahu berlumba di Yas Marina bagi 'menamatkan kisah Formula Satunya dengan jalan berbeza.'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 12:00 PM