K DEVAN anak jati Negeri Sembilan.
K DEVAN anak jati Negeri Sembilan.
Firdaus Hashim
firdaushashi[email protected]


Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, K Devan yang baru dilantik pengendali Negeri Sembilan bertekad memulihkan kembali reputasi skuad Hoben Jang Hoben bagi muncul sebagai pesaing utama kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan.

Justeru bagi memastikan hasrat itu berjaya, beliau sedang melakukan perancangan merombak sebahagian besar pasukan termasuk pemain tempatan dan import, di mana beliau menyasarkan untuk membawa pasukan ke Liga Super musim 2022.

Dalam masa sama, beliau memberikan penghargaan kepada Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al- Qadri kerana memberikan mandat kepadanya untuk mengemudi Negeri Sembilan.

"Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Besar Tampin dan seluruh pengurusan bola sepak Negeri Sembilan kerana mempertaruhkan kepercayaan buat saya membawa pasukan pada musim depan.

"Saya memang teruja kerana sekali lagi berpeluang mengendalikan Negeri Sembilan, iaitu negeri kelahiran saya dan banyak kenangan manis di sini kerana Negeri Sembilanlah menaikkan nama saya seperti hari ini.

"Berdasarkan situasi pasukan buat masa ini, saya tahu banyak perkara perlu dilakukan musim depan dan perancangan utama saya mahu membentuk skuad mantap serta mampu bersaing serta mahu membawa Negeri Sembilan ke Liga Super pada musim berikutnya.

"Apa boleh katakan buat masa ini, pemain import musim depan semuanya yang baru manakala pemain tempatan akan berlaku banyak perubahan kerana saya mahu memperkemaskan skuad ini di semua bahagian," katanya.

Nama Devan bukanlah sesuatu yang asing buat Negeri Sembilan kerana pernah menjadi ketua jurulatih Piala Presiden pada 2001 dan 2002 sebelum memulakan kariernya selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan pada 2003 dan menghadiahkan kejuaraan Piala FA pada tahun yang sama.

Dia membimbing Negeri Sembilan sehingga musim 2006 dan turut berjaya meraih kejuaraan sulung Liga Super pada edisi saingan 2005/2006.

Devan sekali lagi hadir ke Negeri Sembilan pada 2015 namun musim itu, Negeri Sembilan gagal berikan impak dan Devan memilih berhijrah ke Kelantan pada musim 2016.

Negeri Sembilan pada saingan musim ini sekadar menamatkan cabaran di tangga ke-11 di Liga Perdana dan hanya meraih tiga kemenangan daripada 11 perlawanan.

Sementara itu, Devan berharap pengalaman luasnya dalam bidang kejurulatihan mampu menarik pemain berpengalaman dan bakat muda untuk memperkuatkan Negeri Sembilan pada musim depan.

"Berdasarkan bajet diberikan pengurusan, saya akan cuba sedaya upaya membawa pemain yang akan dikenal pasti dan sesuai dengan corak permainan saya mahu terapkan.

"Diharapkan selepas sekian lama dalam bidang kejurulatihan, saya mampu berikan keyakinan kepada pemain di luar sana untuk bersama pasukan musim depan.

"Saya sudah lalui pelbagai fasa dalam karier kejurulatihan namun saya cukup optimis segala pengalaman itu akan berikan keyakinan buat saya menaikkan kembali nama Negeri Sembilan seperti pernah dikenali satu ketika dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 2:33 PM