BAM sedia pertaruh pemain muda terbaik galas cabaran bergandingan dengan tonggak senior
BAM sedia pertaruh pemain muda terbaik galas cabaran bergandingan dengan tonggak senior
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain muda yang berada di kedudukan terbaik dipertaruhkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas cabaran saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 1000 di Bangkok, Thailand, Januari depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Han berkata, pihaknya sudah ada senarai nama pemain terbabit untuk bergandingan dengan tonggak senior yang dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, ketika ini, pemain berkenaan tidak menghadapi masalah menjalani latihan intensif dan kejohanan berkenaan amat penting bagi mengukur kemampuan sebenar mereka.

"Kami sudah ada senarai nama pemain yang menggalas cabaran berdasarkan kepada prestasi semasa mereka dalam kejohanan tertutup baru-baru ini.

"Walaupun pemain muda menunjukkan peningkatan memberangsangkan, kita perlu menyenaraikan barisan pemain mengikut ranking masing-masing," katanya ketika dihubungi Arena Metro di sini, semalam.

Sementara itu, Choong Han berkata, setakat ini belum ada sasaran diletakkan untuk kejohanan terbabit, namun perkara itu diputuskan dalam mesyuarat terdekat nanti.

"Sememangnya tiada penyertaan dalam sebarang kejohanan kompetitif menyebabkan ada beberapa kelemahan perlu diatasi barisan kejurulatihan.

"Namun, semua pemain ternyata bersemangat menggalas cabaran negara berikutan sudah lama tidak menyertai kejohanan peringkat antarabangsa," katanya.

BWF sebelum ini mengesahkan Persatuan Badminton Thailand (BAT) akan menganjurkan Kejohanan Yonex Terbuka Thailand pada 12 hingga 17 Januari ini dan Kejohanan Toyota Terbuka Thailand dari 19 hingga 24 Januari.

Dua lagi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF yang berlangsung adalah Malaysia Masters pada 7 hingga 12 Januari dan Seluruh England dari 11 hingga 15 Mac lalu.

Masing-masing lapan pemain perseorangan dan beregu terbaik dalam ranking Jelajah Dunia BWF, layak beraksi pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF bagi musim 2020 yang bakal diadakan dari 27 hingga 31 Januari tahun depan di Bangkok yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.1 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:02 AM