NEYMAR (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketiga PSG. FOTO AFP
NEYMAR (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketiga PSG. FOTO AFP
AFP

Manchester: Dua jaringan Neymar menghidupkan kembali peluang Paris Saint-Germain dalam kempen Liga Juara-Juara manakala Manchester United berdepan tugas getir untuk mara ke peringkat 16 terakhir selepas tewas 1-3 di Old Trafford, awal pagi tadi.

PSG, United dan RB Leipzig kini terikat sembilan mata dalam Kumpulan H dengan baki satu perlawanan tetapi juara Perancis itu mempunyai kelebihan apabila menjadi tuan rumah kepada Istanbul Basaksehir yang telah pun tersingkir pada Selasa depan manakala United memerlukan mata apabila berkunjung ke Jerman.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer terlepas beberapa peluang pada awal babak kedua ketika kedudukan terikat 1-1 selepas Marcus Rashford menyamakan gol pendahuluan Neymar pada babak pertama.

"Kami memiliki beberapa peluang terbaik dan itu perbezaannya apabila anda beraksi dalam perlawanan besar," kata Solskjaer.

MBAPPE bertembung dengan pertahanan United,  Harry Maguire. FOTO AFP
MBAPPE bertembung dengan pertahanan United, Harry Maguire. FOTO AFP

Kemenangan lewat 4-3 Leipzig di Istanbul sebelum itu memberi tekanan kepada PSG untuk mencari kemenangan dan mereka bermula garang apabila mendahului pada minit keenam selepas rembatan rendah Neymar melepasi jangkauan David de Gea. Jaringan itu yang terpantas dilepaskan United dalam kejohanan sejak September 2015.

Marcus Rashford menyamakan kedudukan pada minit ke-32 apabila rembatannya terkena kaki Danilo Pereira yang mengelirukan penjaga gol Keylor Navas.

Edinson Cavani berpeluang menghukum bekas kelabnya namun bola lambungannya yang melepasi Navas terkena palang pada babak kedua.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel yang menyedari jawatannya dalam bahaya jika PSG tersingkir awal memasukkan Ander Herrera dan Mitchel Bakker.

De Gea tangkas menyelamatkan rembatan rendah Bakker di sebelah kiri namun gawangnya tidak bertahan lama apabila Marquinhos meledak gol kedua dari jarak dekat pada minit ke-69.

Seminit selepas itu, United beraksi 10 pemain selepas Fred dibuang padang akibat mengasari Herrera dan Neymar menambah derita tuan rumah apabila tenang menolak bola untuk gol ketiga selepas mendapat hantaran Rafinha pada minit akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:11 AM