MESSI berbual dengan Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
MESSI berbual dengan Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO AFP

Barcelona: Cristiano Ronaldo menegaskan dia tidak pernah menganggap Lionel Messi sebagai 'musuh' utama selepas Juventus menewaskan Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara.

Dua jaringan penalti Ronaldo dan satu menerusi Weston McKennie di Camp Nou membolehkan Juve menang 3-0 dan menjadi pendahulu Kumpulan G. .

Messi yang membuat 11 percubaan dengan tujuh mengenai sasaran tetapi Barca tewas ketika dia berdepan sekali lagi Ronaldo yang beraksi sembilan musim di La Liga bersama Real Madrid.

Ronaldo yang berbual seketika sebelum perlawanan berkata, tiada persaingan di antara kedua-dua pemain hebat itu.

"Saya selalu mempunyai hubungan baik dengan dia,'' kata bintang Juventus itu.

"Saya berkongsi 12, 13 atau 14 anugerah dengan dia dan saya tidak nampak dia sebagai pesaing saya.

"Dia kerap melakukan apa yang terbaik untuk pasukannya, begitu juga saya. Saya tiada masalah dengannya dan kerap boleh ketawa bersama.

"Tetapi seperti kita ketahui dalam bola sepak, untuk media dan untuk penonton, persaingan ini perlu tetapi saya boleh berbual dengannya. Saya kerap bertemunya.''

Sejak 2003-04, tujuh percubaan Messi tepat ke sasaran adalah yang paling banyak diperolehi dalam satu-satu perlawanan Liga Juara-Juara tanpa sebarang gol.

Tetapi Ronaldo menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Barca dalam aksi Liga Juara-Juara (dalam penampilan keenam) dan jaringan ke-133 dan 134 dalam kejohanan.

"Barcelona berdepan saat sukar tetapi mereka tetap Barcelona,'' kata Ronaldo.

"Yang pasti kami sangat gembira, kami tahu ia misi amat sukar dan kami beraksi sangat baik.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:57 PM