NEYMAR menahan kesakitan ketika diusung keluar. FOTO AFP
NEYMAR menahan kesakitan ketika diusung keluar. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain terlepas mahkota Ligue 1 selepas tewas 0-1 di tempat sendiri kepada Lyon dan situasi mereka bertambah sukar apabila Neymar diusung keluar susulan mengalami kecederaan buku lali.

Jaringan Tino Kadewere pada babak pertama membolehkan Lyon menang kali ketujuh dalam lapan perlawanan sekali gus sama mata dengan Lille yang merampas kedudukan pendahulu susulan kemenangan 2-1 ke atas Bordeaux di tempat sendiri.

PSG jatuh ke tangga ketiga selepas tewas kali keempat dalam 14 perlawanan musim ini tetapi yang lebih membimbangkan ialah kesihatan Neymar selepas buku lalinya tercedera apabila dikasari Thiago Mendes pada masa kecederaan.

Pemain tengah Lyon itu dibuang padang manakala Neymar yang menahan kesakitan terpaksa diusung keluar.

"Dia mendapatkan rawatan dengan fisio dan kami serta doktor perlu menunggu ujian esok,'' kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel kepada media.

Kemenangan pertama Lyon ke atas PSG di tempat lawan sejak Oktober 2007 menaikkan semangat mereka untuk bersaing merebut gelaran liga yang kali terakhir dimenangi 13 tahun lalu.

"Kami bertahan dengan baik, kami musnahkan kekuatan mereka dan kemudian menyerang dengan lancar untuk jaringan sekurang-kurangnya sekali ," kata jurulatih Lyon, Garcia.

PSG ketinggalan satu mata di belakang pendahulu di tangga ketiga manakala Marseille yang berkelebihan dua perlawanan berbanding pesaing mereka satu mata di hadapan Montpellier di tangga keempat.

Dengan Kylian Mbappe direhatkan, Moise Kean bergandingan dengan Neymar di bahagian serangan selepas bintang Brazil itu meledak hatrik ketika menang 5-1 ke atas Istanbul Basaksehir dalam saingan Liga Juara-Juara.

Tetapi Lyon yang tiada komitmen Eropah musim ini mengejutkan tuan rumah pada minit ke-35 selepas penyerang Zimbabwe, Kedere merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol, Keylor Navas untuk jaringan kelimanya musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 9:51 AM