DILLON  Danis (kiri) bersama Conor McGregor. FOTO Agensi
DILLON Danis (kiri) bersama Conor McGregor. FOTO Agensi
Agensi

London: Rakan pelatih Conor McGregor berkata, pertarungan ulangan dengan Khabib Nurmagomedov tidak akan berlangsung sengit kerana bintang UFC itu kini mempunyai cara pemikiran yang betul.

McGregor ditewaskan oleh Khabib pada pusingan keempat di UFC 229 pada 2018.

Dillon Danis membantu jaguh Ireland itu mempersiapkan diri menghadapi pertarungan itu dan turut terbabit dengan 'percakaran' kedua-duanya selepas tamat perlawanan.

Adegan panas itu menimbulkan dendam di hati McGregor untuk mengadakan pertarungan ulangan walaupun Khabib mengumumkan persaraan pada Oktober lalu.

Tetapi pakar jiu jitsu, Danis berharap kedua-dua musuh ketat itu dapat bertemu semula dan dia percaya McGregor akan dapat membalas dendam dengan knockout.

Katanya kepada NELK: "Saya tak fikir ia akan berlangsung sengit, tidak lansung. Jika cara pemikiran Conor seperti sekarang, pertarungan mereka tidak sengit seperti dijangka.

"Percayalah, saya tahu apa yang boleh dilakukan Conor McGregor. Ia akan menjadi pertarungan yang tidak lama.

"Khabib petarung satu dimensi, Conor akan menewaskannya dalam masa lima pusingan sahaja."

McGregor, 32, hanya sekali bertarung sejak kekalahan perit itu iaitu menewaskan Donald Cerrone, 37, dalam masa hanya 40 saat pada Januari lalu.

Sebelum itu, bekas juara dua divisyen itu mengakui dia hilang fokus ketika menentang Khabib malah mengambil minuman keras dalam kem latihan.

Dengan perubahan sikap dan dedikasi ditunjukkan sepanjang dua tahun selepas itu, Danis percaya McGregor mampu balas dendam ke atas Khabib.

Katanya: "Lihat pertarungan terakhirnya dan betapa bagus dia mengakhiri pertarungan dan pertarungan itu adalah pertarungannya.

"Dengan cara pemikiran yang betul dan kem latihan yang tepat, saya jangkakan pertarungan mereka tidak berlangsung sengit.

"Saya berani bertaruh dia akan menewaskan Khabib jika mereka bertarung semula."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 8:38 PM