PEMAIN UiTM FC gigih jalani latihan kelmarin. FOTO FB UiTM FC
PEMAIN UiTM FC gigih jalani latihan kelmarin. FOTO FB UiTM FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang baharu UiTM FC, Khairul Izuan Rosli enggan sekadar menjadi 'penumpang' dalam pasukan sebaliknya mahu kembali mencipta nama seperti mana zaman kegemilangannya ketika bersama Kelantan sejak musim 2011.

Pemain berusia 30 tahun itu mengakui prestasinya kurang menyerlah sejak berhijrah ke pasukan lain selepas enam musim menabur bakti bersama Kelantan pada 2011-2017 yang menyaksikan dia berjaya mencapai beberapa kejayaan termasuklah meraih kejuaraan 'treble' pada 2012.

Namun, perjalanan kariernya selepas berhijrah ke Negeri Sembilan (2017-2018), Terengganu FC (2019) dan Kelantan United (2020) tidak semudah yang disangka apabila bergelut untuk mencari rentak permainan dengan lebih baik bersama pasukan.

Justeru, peluang yang diberikan oleh UiTM FC pada musim ini enggan disia-siakan untuk Izuan berusaha mendapat kepercayaan pengendali, Frank Bernhardt bagi memastikan tempat dalam skuad utama bagi musim 2021.

"Saya bersyukur apabila musim ini dapat beraksi untuk UiTM FC dan saya boleh katakan pasukan ini antara yang beraksi cemerlang juga 2020, jadi semestinya ia akan menjadi musim yang mencabar untuk saya apatah lagi bersaing dalam Liga Super.

"Tahun lepas ketika bersama Kelantan United, saya selalu juga diturunkan dalam skuad utama, cuma disebabkan pandemik, peluang untuk menyerlah itu agar sukar, jadi semestinya saya mengharapkan tahun yang lebih baik bersama UiTM FC pada musim ini.

"Sebenarnya selepas keluar daripada Kelantan, saya mengaku agar susah nak mencari rentak permainan, tetapi Alhamdulillah masih lagi ada pasukan yang inginkan khidmat saya dan saya akan bekerja lebih keras untuk kembali mencipta nama," jelasnya.

Berhubung perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri bermula 13 Januari sehingga 26 Januari, Izuan hanya mengharapkan situasi itu akan segera pulih agar pasukan dapat melakukan persediaan dengan lebih baik menjelang sepak mula pada Februari depan.

Izuan antara pemain baharu yang bakal memperkuatkan UiTM FC musim ini termasuk tujuh lagi pemain tempatan iaitu Khairul Asyraf Sahizah dan Mohd Alif Najmi dari Perak II, Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan), Dirga Surdi dan Muhammad Farid Nezal (PDRM FC), Muhammad Hardee Shamsuri (Pahang) dan Mohd Fauzi Latiff (Negeri Sembilan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 10:16 PM