HUP Wei buru slot Olimpik buat kali ketiga.
HUP Wei buru slot Olimpik buat kali ketiga.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: ''Saya tak pasti bagaimana saya boleh dijangkiti. Seperti saya maklum sebelum ini saya tidak mempunyai sebarang gejala. Masa di hospital juga saya seperti orang biasa. Tidak rasa apa-apa. Tiada gejala atau sebagainya. Sampai sekarang pun masih sama seperti orang normal. Saya tak rasa ada sakit,'' menurut jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Dia yang sedang menjalani kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) dan akan tamat tiga hari lagi tetap bersemangat dan menganggap Covid-19 bukan alasan untuknya melupakan latihan demi melayakkan diri ke temasya Olimpik buat kali ketiga.

Bagaimanapun, sukar untuknya merangka perancangan berikutan kes penularan Covid-19 semakin meningkat dengan banyak pertandingan terpaksa dibatalkan termasuk Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung Januari ini dianjak ke tarikh yang akan diputuskan kelak.

Dia yang meraih tiga emas di temasya Sukan Sea menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung perancangan seterusnya mengenai jadual pertandingan dan juga latihan ke luar negara.

Berdasarkan kedudukan ranking, Hup Wei kini menjadi taruhan terbaik negara untuk layak ke temasya Olimpik namun segalanya mungkin berubah selepas penganjuran kejohanan yang menawarkan mata akan berlangsung.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:18 PM