AHMAD Shapawi.
AHMAD Shapawi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tujuh atlet negara dan seorang pegawai pengiring sukan boccia yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 sudah dibenarkan keluar daripada Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Hospital Sungai Buloh dan MAEPS Serdang pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan kesemua individu berkenaan kini berada di Casa MSN untuk tujuan pemulihan kecergasan yang akan dilaksana Institut Sukan Negara (ISN) sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan seperti biasa.

Beliau turut mengesahkan lima pegawai MSN yang sebelum ini dikesan positif Covid-19 dibenarkan keluar daripada kedua-dua pusat kuarantin berkenaan hari ini.

Dua pegawai MSN yang dikesan positif Covid-19, masing-masing pada 8 dan 10 Jan lepas masih menjalani kuarantin di MAEPS Serdang manakala seorang atlet wushu negara yang disahkan positif pandemik itu pada 9 Jan masih menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini, MSN mengesahkan tujuh atlet negara dengan masing-masing dua atlet dari sukan olahraga, tenis berkerusi roda dan bola keranjang kerusi roda, selain masing-masing seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran dan pegawai pengiring sukan boccia, disahkan positif

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memaklumkan kem latihan berpusat secara kuarantin melibatkan 632 atlet podium, podium para, pelapis kebangsaan dan jurulatih negara daripada 28 jenis sukan akan diteruskan seperti biasa.

Kem latihan berpusat berkenaan melibatkan lima venue iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar di Langkawi dan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 10:53 PM