PENGARAH Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Rashid Jusoh (dua kanan) pada majlis menandatangani dokumen kerjasama. - Foto Yakult Malaysia
PENGARAH Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Rashid Jusoh (dua kanan) pada majlis menandatangani dokumen kerjasama. - Foto Yakult Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketika ramai masih berkira-kira mahu melabur dalam industri bola sepak berikutan pandemik Covid-19, lain pula pengeluar minimum probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd apabila terus menyatakan komitmen menjalinkan kerjasama dengan Terengganu FC (TFC).

Yakult yang sebelum ini baru saja menjalinkan kerjasama strategik bersama Kelantan United pada Disember lalu jelas sekali begitu berminat dalam menaja pembangunan akar umbi untuk musim 2021.

Persetujuan kerjasama itu dicapai hasil daripada perbincangan pihak Yakult Malaysia yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada bersama pengurusan TFC yang menyaksikan nilai tajaan RM380,000 dan beberapa perancangan program pembangunan bola sepak akar umbi bersama kelab itu.

Hamada berkata, TFC mempamer prestasi baik dan membanggakan musim lalu hingga menyaksikan mereka layak untuk beraksi pada Piala AFC 2021.

"Ini membuktikan pasukan ini berkualiti dan mempunyai misi besar pada musim ini dan Yakult mahu menjadi sebahagian kecil yang menyumbang kepada kejayaan pasukan ini pada masa akan datang.

"Selain itu, TFC juga mempunyai sistem pembangunan bola sepak akar umbi yang baik. Bermula dari peringkat umur 7 hingga 21 tahun, TFC sememangnya membuktikan pembangunan bola sepak di negeri Terengganu berjaya menghasilkan pemain berkualiti. "Buktinya, beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan bawah 19 tahun dan 21 tahun mereka sering berada dalam kedudukan tiga teratas bagi kedua- dua kejohanan peringkat umur itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 9:24 PM