MALIK puji kaedah latihan ketua jurulatih, Thomas Dooley.
MALIK puji kaedah latihan ketua jurulatih, Thomas Dooley.
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff tidak berdepan masalah mengikuti sesi latihan secara individu seperti ditetapkan pasukan.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu percaya sesi latihan harian perlu dilakukan untuk memastikan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula nanti.

"Sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), barisan kejurulatihan Sri Pahang menetapkan dua sesi latihan setiap hari kecuali Ahad. Sesi pagi menumpukan kepada larian sejauh lapan kilometer manakala petang pula lebih kepada latihan kecergasan dengan menggunakan video.

"Segalanya dipantau oleh jurulatih kecergasan dan setakat ini saya selesa dengan latihan diberikan ketua jurulatih, Thomas Dooley," katanya.

Mengulas sesi latihan bersama Dooley sepanjang tempoh dua minggu sebelum PKP, Abdul Malik berkata, banyak perkara baharu diterapkan jurulatih import berkenaan.

Katanya, tahap kecergasan diberi keutamaan untuk memastikan semua pemain berada tahap prestasi terbaik sebelum memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berpendapat saingan Liga Malaysia (Liga M) perlu diteruskan seperti yang dijadualkan. Menurutnya, bola sepak juga tergolong dalam industri yang turut mempunyai pekerja dan majikan.

"Jika industri lain boleh beroperasi seperti biasa, industri bola sepak juga perlu dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan. Daripada segi pasukan, SOP yang berkaitan saingan Liga M sudah pasti akan diikuti mengikut garis panduan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya percaya semua pasukan tiada masalah untuk mematuhinya dan saingan Liga M berjalan mengikut perancangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 3:09 PM