AKSI  Fernandes (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma di Old Trafford. FOTO AFP
AKSI Fernandes (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma di Old Trafford. FOTO AFP
AFP

Manchester: Ole Gunnar Solskjaer menyanjungi karakter Bruno Fernandes selepas sepakan percuma menarik pemain tengah Manchester United itu membantu kemenangan 3-2 ke atas Liverpool dalam aksi pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Skuad Solskjaer menambah derita Liverpool dengan Fernandes muncul pemusnah menerusi gol kemenangan pada lewat permainan di Old Trafford.

Pendahulu Liga Perdana, United bangkit daripada ketinggalan selepas jaringan awal Mohamed Salah namun tuan rumah meledak dua gol menerusi Mason Greenwood dan Marcus Rashford.

Salah kemudiannya menyamakan kedudukan sebelum perancang Portugal, Fernandes yang masuk daripada bangku simpanan mempamerkan kelas tersendiri dengan jaringan kemenangan pada minit ke-78.

"Jaringan hebat. Apabila anda tinggalkan dia seperti saya lakukan hari ini, dia kekal 45 minit selepas latihan semalam dengan berlatih mengasah sepakan percuma. Jadi saya yakin dia mampu merealisasikannya apabila berpeluang,'' kata Solskjaer.

"Dia tak pernah gembira dengan saya apabila diarah masuk ke dalam selepas latihan terutamanya ada perlawanan keesokan harinya. Jadi dia mendapat latihan tambahan semalam.''

SALAH menjaringkan gol penyamaan Liverpool. FOTO AFP
SALAH menjaringkan gol penyamaan Liverpool. FOTO AFP

United yang enam mata di hadapan Liverpool dalam saingan liga kini berada di kemuncak prestasi selepas bergelut pada permulaan musim.

Bangkit daripada ketinggalan kepada pasukan seperti Liverpool membuktikan lagi kemampuan sebenar United.

"Cemerlang. Anda tahu apabila ketinggalan satu gol, reaksi setiap orang sangat bagus," kata Solskjaer.

"Kami bermain dengan bijak, jaringan cantik, bertahan dengan baik dan kami pantas bertindak balas. Sudah tentu di penghujung perlawanan terdapat beberapa detik cemas tetapi kami cekal bertahan."

Sejak tampil kali pertama pada Februari 2020, jumlah 28 jaringan Fernandes lebih banyak daripada mana-mana pemain Liga Perdana.

"Saya gembira menang, tidak lebih daripada itu dan paling penting kami mara ke peringkat seterusnya. Tak kiralah siapa jaringkan gol. Sudah tentu jika saya jaringkan gol, saya gembira, itu pasti,'' kata Fernandes.

"Saya bekerja keras untuk meledak gol seperti ini, sepakan percuma. Saya cuba dan ini sangat bagus. Sebelum mengambil sepakan, Edinson Cavani beritahu saya, cuba rembat sekuat mungkin ke sebelah kiri penjaga gol dan ia benar-benar menjadi.''

Ketika ditanya mengenai kemajuan United, Fernandes berkata: "Sangat banyak. Seperti saya katakan ketika saya tiba di sini ia seperti mimpi. Beraksi dengan kelab besar, beraksi di Liga Perdana seperti mimpi jadi nyata.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:42 AM