PAULA tidak dipedulikan penganjur Terbuka Australia. FOTO Agensi
PAULA tidak dipedulikan penganjur Terbuka Australia. FOTO Agensi
Agensi

Melbourne: Pemain nombor 67 dunia dari Sepanyol, Paula Badosa mendakwa dia disisihkan oleh penganjur Terbuka Australia dan kunjungan ke Down Under adalah yang paling buruk dalam kariernya.

Paula menjadi perhatian media selepas merungut mengenai protokol kuarantin ketat dan menjadi pemain pertama positif Covid-19.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata dia tidak diberitahu sama dijangkiti salah satu mutasi koronavirus UK, Afrika Selatan atau Brazil, sekaligus tidak pasti sama ada dia boleh meninggalkan kuarantin di hotel seperti dijadualkan pada 31 Januari atau sebaliknya sehinggalah 5 Februari.

Katanya, persiapan menghadapi Terbuka Australia terjejas akibat kuarantin di mana dia berkongsi bilik dengan jurulatih, Javier Marti.

"Saya rasa tersisih dan tidak dipedulikan kerana saya tidak mendapat peralatan latihan yang saya minta lima hari lalu, saya tidak diberitahu jenis virus yang dijangkiti dan saya tidak mendapat maklumat mengenai kejohanan,'' kata Paula kepada akhbar Sepanyol, Marca.

"Pengalaman kali ini yang terburuk dalam karier saya. Keadaan di sini teruk, saya tak jangkakannya. Ramai berkata perkara pertama apabila anda dijangkiti, tingkap perlu dibuka untuk pengaliran udara tetapi tiada tingkap di bilik hotel saya dan ia sebesar 15m persegi.

"Saya hilang banyak tahap kecergasan terutamanya kekuatan saya. Jika saya dapat keluar pada 31 Januari, saya ada seminggu untuk memulihkan kecergasan dan jika 5 Februari, mustahil untuk saya pulih hadapi kejohanan."

Paula tiba di Australia menaiki pesawat yang terjejas dengan Covid-19 dari Abu Dhabi dan menjadi salah seorang daripada 72 pemain yang diwajibkan kuarantin. Dia kemudiannya diuji positif Covid-19 pada hari ketujuh dan perlu menjalani protokol kesihatan yang ketat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 2:24 PM