Foto hiasan
Foto hiasan
AFP

New York: Syarikat pengeluar bekalan vaksin Covid-19 kini menjadi sasaran kumpulan penggodam.

IBM pada Khamis memberi amaran, kumpulan penggodam dalam cubaan mencuri data rahsia perdagangan untuk mengganggu rantaian bekalan vaksin itu.

IBM mendedahkan, pihaknya berjaya mengesan beberapa siri serangan siber terhadap syarikat yang terbabit dalam pengeluaran dos vaksin itu.

Katanya, Ketua Pengarah Suruhanjaya Eropah untuk Kesatuan Cukai dan Kastam serta syarikat Eropah serta Asia yang terbabit dalam rantaian bekalan turut menjadi sasaran serangan penggodam.

"Pasukan kami baru-baru ini mengesan kempen serangan 'phishing' data global yang mensasarkan organisasi berkaitan dengan rangkaian bekalan Covid-19," kata penganalisis IBM X-Force, Claire Zaboeva dan Melissa Frydrych dalam satu hantaran di blog.

Katanya, tujuan penggodam kemungkinan mahu mendapatkan kelayakan dalam mengakses maklumat tidak sah ke rangkaian korporat dan maklumat sensitif yang berkaitan dengan pengedaran vaksin Covid-19 pada masa hadapan.

"Tidak jelas sama ada serangan itu berjaya dan tidak dapat dipastikan siapa dalang di sebalik serangan itu.

"Penggodam menyamar sebagai eksekutif dan pekerja dari Haier Biomedical dan menghantar emel 'phishing' kepada syarikat penyedia sokongan untuk keperluan pengangkutan rangkaian bekalan sejuk Covid-19," kata mereka.

Vaksin yang dibangunkan Pfizer dan syarikat Jerman BioNTech mendapat kebenaran dari Britain untuk mengedarkan vaksinnya yang perlu disimpan di bawah suhu sejuk -70 darjah Celsius untuk memastikan keberkesanannya.

Usaha ini memerlukan kerjasama syarikat logistik khusus seperti Haier Biomedical, sebuah syarikat bekalan rantaian sejuk milik China dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

p>

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 11:31 AM