GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Paris: Bekas pakar bedah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana merogol dan melakukan penderaan seksual ke atas empat kanak-kanak yang disifatkan kes terbesar pedofilia di Perancis.

Pesara itu, Joel Le Scouarnec, 70, dilihat hanya memeluk tubuh dan tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan di Mahkamah Saintes, barat Perancis tanpa memandang langsung ke arah mangsanya yang saling berpelukan penuh emosi.

Le Scouarnec yang kemungkinan berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah atas semua tuduhan, juga dikenakan perintah pengawasan tiga tahun pada akhir hukumannya.

Dia mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan.

Hakim Isabelle Fachaux berkata, Le Scouarnec menerima hukuman pada 2005 kerana melihat pornografi kanak-kanak, namun tindakan keterlaluannya itu menyebabkan hukuman penjara yang panjang disambung.

"Kami sangat berpuas hati. Ia hukuman yang adil," kata peguam kepada seorang daripada mangsa yang membuat laporan ke atas lelaki itu pada 2017, Francesca Satta.

Dalam perbicaraan akhir di mahkamah, Le Scouarnec berkata, dia tidak mengharapkan kelonggaran hukuman berdasarkan peguam yang mewakilinya dalam perbicaraan yang dijalankan secara tertutup atas permintaan mangsa.

"Dia tidak meminta pengampunan atau belas kasihan...cuma mahukan hak untuk menjadi lelaki yang lebih baik.

"Dia menyesal (atas perbuatannya). Dia tahu apa dilakukannya tidak dapat dimaafkan," kata peguamnya, Thibaut Kurzawa.

Bekas pakar yang dihormati dan bapa kepada tiga anak lelaki itu berdepan perbicaraan kedua membabitkan ratusan kes serangan seksual dan rogol.

Le Scouarnec dituduh kali pertama pada 2017 selepas keterangan seorang mangsa anak jirannya berusia enam tahun, sekali gus menemukan tiga lagi kes dengan dua daripadanya anak saudaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:30 AM