Williams diiktiraf  Guinness World Record sebagai pemilik rambut gaya afro terbesar dunia. FOTO agensi
Williams diiktiraf Guinness World Record sebagai pemilik rambut gaya afro terbesar dunia. FOTO agensi
Agensi

New York: Seorang wanita Amerika Syarikat mendapat pengiktirafan memiliki rambut afro terbesar dunia selepas mencatatkan ukur lilit rambut 25.4 sentimeter (cm) dan lebar 22.5 cm.

Simone Williams (gambar) dari Brooklyn berkata, dia mendapat inspirasi menggayakan rambut itu daripada penyandang rekod dunia terdahulu, Aevin Dugas.

"Dia memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan percubaan ini.

"Saya lakukan carian Google mencari pemilik rambut afro terbesar dunia dan apabila dia muncul saya amat kaguminya.

"Ketika itu, saya tidak fikir mana-mana bahagian pada rambut saya hampir serupa dengannya, namun sangat gembira melihat dia dikenali dan ada peluang orang lain dikenali juga," katanya dipetik dalam portal Guinness World Record.

Katanya, dia membiarkan rambutnya tumbuh semula jadi tanpa dipotong selama sembilan tahun.

"Sebelum ini, saya berambut lurus selepas mula mendapat kebenaran meluruskan rambut ketika di sekolah menengah.

"Namun, ketika usia saya menginjak 23 tahun, saya mula selesa dengan gaya rambut semula jadi saya ini," katanya.

Williams berkata, perubahannya itu didorong apabila dia mahu berjimat untuk berpindah ke rumah baharu.

"Segalanya bermula apabila saya mahu berjimat cermat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:31 AM