DONALD TRUMP
DONALD TRUMP
AFP

Washington: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk menolak usul penyandang, Donald Trump, mencabar kekalahannya dalam pengundian pilihan raya presiden di Pennsylvania.

Ia menjadi menjadi tamparan terbaru dan juga yang terbesar kepada usaha Trump yang masih enggan mengakui kekalahan kepada pencabarnya dari parti Demokrat, Joe Biden.

Mahkamah tertinggi AS itu, di mana tiga daripada sembilan hakim terbabit adalah lantikan Trump, tidak menjelaskan keputusan sebulat suara itu.

Walaupun sudah lebih sebulan pilihan raya presiden AS berlalu, Trump masih enggan mengaku kalah kepada Biden yang mendahului dengan tujuh juta undi, sebaliknya terus membuat tuduhan berlaku penipuan, tanpa mengemukakan bukti.

Trump dan sekutunya memfailkan sejumlah besar tindakan undang-undang di beberapa negeri utama, namun hampir semuanya sudah ditolak mahkamah.

Satu daripadanya, yang difailkan anggota Kongres dari Republikan, Mike Kelly, mencabar keabsahan undi pos di Pennsylvania, negeri yang penting dalam pertembungan Trump-Biden.

Biden memenangi undian di Pennsylvania bulan lalu, empat tahun selepas Trump menang di negeri itu.

Selepas kes itu ditolak Mahkamah Agung Pennsylvania, plaintif pergi ke Mahkamah Agung AS dan memohon pembekuan semua operasi berkaitan pilihan raya presiden sementara perbicaraan berjalan.

Ketika menolak kes itu, Mahkamah Agung AS mengakhiri prosedur berkenaan dan memberi isyarat ia tidak cenderung untuk terbabit dalam tindakan perundangan pascapilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 9:59 PM