Fuad Hadinata Yaacob dan Iskandar Shah Mohamed


LIMA puluh dua remaja termasuk seorang penuntut kolej yang dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Klang, hari ini, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram di sekitar daerah ini, bulan lalu.

Seramai 49 daripada tertuduh berusia 15 hingga 18 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Datin Nor Asma Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama individu lain yang masih bebas didakwa terbabit dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang seperti dipaparkan dalam video perhimpunan upacara pemotongan kek yang dihiasi angka 24.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan SMK Sri Andalas, SMK Kampung Jawa, SMK Raja Mahadi, dan di belakang Sekolah Kebangsaan Simpang Lima, antara 12.30 tengah hari 20 April lalu dan 1.15 tengah hari keesokkan harinya.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 143 (Akta 574) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam bela Gerrard Lazarus, Dave Anand, Dinesh Muthal dan SK Pari.

Nor Asma membenarkan kos ikat jamin semua tertuduh antara RM800 hingga RM1,000.

Sebutan semula kes dan jatuh hukum ke atas tiga tertuduh yang mengaku bersalah ditetapkan pada 6 Julai depan.

Bulan lalu, dua video memaparkan sekumpulan pelajar disyaki anggota Geng 24 menjadi tular di media sosial kerana menimbulkan kekecohan di luar kawasan sekolah di sekitar Klang.

Ia antaranya memaparkan mereka memegang sepanduk dan memakai baju yang mempunyai kaitan dengan geng berkenaan.

'Upacara' memotong kek yang kononnya meraikan ulang tahun kumpulan itu turut mengundang bahaya berikutan mercun dibakar dan turut dibaling secara rawak kepada pelajar lain.

Polis kemudian melancarkan operasi khas dan menahan semua suspek secara berperingkat bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 2:16 PM
ANTARA tertuduh yang dibawa ke mahkamah. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat