Norasikin Daineh dan Mohd Ruzaini Zulkepli


"PELBAGAI cara digunakan untuk memujuk, termasuk menawarkan sejumlah wang tunai, namun lelaki itu tidak mahu melepaskan tebusannya, malah mengancam mahu mengelar leher wanita itu," kata saksi insiden wanita berusia 20-an yang dijadikan tebusan di Jalan Damai - Luyang berhampiran Plaza Damai Kota Kinabalu, malam ini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50 -an berkata, suspek terdahulu cuba melakukan rompakan di salah sebuah kediaman jirannya di Taman Istimewa, Luyang.

Menurut Ahmad, selepas gagal melakukan aktiviti jenayah itu, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri ke kediaman bersebelahan lalu menjadikan wanita berusia 20-an sebagai tebusan dengan mengacukan sebilah pisau di leher mangsa.

"Mangsa ketika itu berada di luar rumah. Ahli keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu cuba memujuk suspek melepaskan anak mereka namun lelaki terbabit berkeras dan enggan berbuat demikian.

"Mereka (ahli keluarga) turut menawarkan sejumlah wang tunai bagi membebaskan mangsa namun suspek tetap enggan sambil menjerit dia mahu pulang ke Sandakan pada malam ini juga, " katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, suspek bertindak mengheret mangsa ke jalan raya sejauh 1.5 kilometer dari Taman Istimewa ke Jalan Damai-Luyang berhampiran Plaza Damai sambil tangannya mengacukan pisau ke arah leher wanita berkenaan.

Insiden tebusan itu turut menyebabkan laluan di lokasi terbabit sesak dengan kehadiran orang ramai yang mahu menyaksikan kejadian berkenaan secara dekat.

Bagaimanapun, situasi cemas itu berakhir selepas suspek ditahan dan tebusan diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2.

Sementara itu, adik mangsa tebusan, Chong Siew Ling, 24, berkata, kakaknya masih trauma.

Katanya, sebelum kejadian kakaknya pergi ke rumah seorang rakan di Taman Istimewa pada sebelah petang.

"Kakak saya ada beritahu dia mahu ke rumah kawannya petang tadi tapi kami tidak menyangka pula perkara ini terjadi.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh kawan tentang keadaan kakak saya yang jadi tebusan lalu terus bergegas ke sini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, beliau yang masih terkejut dengan kejadian itu enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 11:26 PM