Aizat Sharif


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menyita RM1.5 juta tunai yang disembunyikan di rumah milik suspek bergelar Datuk di Pulau Pinang, semalam.

Datuk berusia 53 tahun itu ditahan kerana mempunyai kaitan berhubung kes rasuah membabitkan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis.

Sumber SPRM berkata, dalam perkembangan terbaru ‘Ops Lavish’ itu, pihak mereka turut menyita sijil simpanan tetap bernilai RM1.5 juta dalam rumah berkenaan.

“Sehingga ini, jumlah wang rasuah yang disita daripada kes berkenaan dianggarkan berjumlah RM6.57 juta dan kita percaya banyak lagi wang disorokkan oleh suspek berkenaan.

“Usaha sedang dijalankan untuk mengesan wang itu dan kita percaya akan dapat mengesan wang berkenaan sedikit masa lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis yang bertugas di Kompleks Pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, Perlis ditahan SPRM Kedah kerana terbabit dengan kegiatan rasuah sejak 2015 ketika dia bertugas di Putrajaya sebagai Ketua Khidmat Ekspatriat JIM.

Suspek berusia 37 tahun itu dipercayai meluluskan 339 permohonan permit kerja ekspatriat (pegawai dagang profesional warga asing) daripada 18,626 pemohon dan setiap pemohon berkenaan perlu membayar RM1,500 sebagai wang rasuah bagi kelulusan permohonan berkaitan.

Selain pegawai kanan Imigresen terbabit, SPRM turut menahan empat lagi lelaki berusia antara 34 hingga 53 yang dipercayai rakan atau proksi kepada suspek utama termasuk seorang yang bergelar Datuk serta seorang lagi anggota JIM Negeri Perlis bagi emmbantu siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:28 PM