Nurul Huda Kosnon dan Mohd Hanafis Abd Haris


EMPAT lelaki anggota Geng Civic yang baru menyamun RM40,000 menemui ajal selepas ditembak mati polis di Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, penjenayah berkenaan menyamun lelaki yang baru mengeluarkan wang dari bank di Sri Gombak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner (SAC) Rusdi Mohd Isa berkata, sebaik tiba di Sri Rampai dipercayai untuk urusan kerja, mangsa ditahan oleh dua lelaki bersenjatakan parang.

Menurutnya, wang mangsa sebanyak RM40,000 dirampas dan mangsa ditolak hingga terjatuh.

“Menyedari kehadiran sepasukan anggota polis, suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan cuba melarikan diri dengan masuk ke dalam kereta.

“Anggota polis membalas tembakan dan mengenai semua suspek. Tiga suspek ditembak ketika berada di dalam kereta manakala seorang di luar,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis turut menemui dua pistol dan dua parang yang digunakan untuk menyamun.

“Siasatan mengikut seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun, seksyen 307 kerana cubaan membunuh.

“Kes turut disiasat mengikut seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971,” katanya.

Sementara itu saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ben, 42, berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah stesen minyak yang terletak berhampiran.

Menurutnya dia kemudian terdengar bunyi tembakan kira-kira 10 meter dari lokasi.

“Saya terlihat terdapat beberapa lelaki terkulai berdekatan sebuah kereta. Sejurus selepas itu orang ramai mula mengerumuni sekitar lokasi kejadian.

“Lokasi kejadian kemudian dikawal anggota polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 4:00 PM
Suasana di tempat kejadian empat lelaki anggota Geng Civic ditembak mati polis di Sri Rampai, Wangsa Maju, hari ini. FOTO Sairien Nafis