ANNUAR label TRW sebagai pasukan miskin. FOTO Fathil Asri.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini mungkin penampilan terakhir Kelantan apabila Tan Sri Annuar Musa membayangkan terpaksa melupakan kempen tahun depan akibat tekanan luar biasa diterima pasukannya.

Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkata, menerusi peraturan dan cara liga tempatan dikendalikan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), pasukan ‘miskin’ sudah tiada tempat dalam saingan tempatan.

“TRW (The Red Warriors) mungkin tidak wujud dalam Liga-M tidak lama lagi. Di bawah peraturan dan cara sekarang, pasukan miskin sudah tiada tempat dalam Liga Super.

“Saya doakan yang terbaik jika ada peluang untuk pasukan negeri ini beraksi atas nama negeri,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, semalam.

Sebelum ini, KAFA didapati gagal mengemukakan surat penyelesaian bayaran tunggakan kepada pemain dan pengurusan pasukan Kelantan sebelum bermulanya musim 2017 dan akibatnya TRW dikenakan denda pemotongan enam mata.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:05 AM