Gelagat suspek yang dirakam CCTV. FOTO ihsan polis
Mohd Rizal Abdullah


POLIS memburu dua lelaki yang melarikan dua pagar besi dari sebuah rumah dengan menaiki motosikal dalam kejadian Jalan Tudan di Miri, petang semalam

Dalam kejadian 5.30 petang itu, dua lelaki terbabit dilihat menanggalkan pagar besi berkenaan dalam tempoh kurang satu minit sebelum beredar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, perbuatan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan itu yang kemudiannya tular di laman sosial.

Menurutnya, hasil rakaman CCTV, polis berjaya mengenalpasti nombor pendaftaran motosikal yang digunakan.

"Setakat ini, kedua-dua suspek masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 2:54 PM