Fuad Jadinata Yaacob dan Faliq Lajim

MENGHUNI rumah yang seakan-akan pondok membabitkan 17 ahli keluarga di bawah jambatan di Jalan Kem, dekat Pelabuhan Klang, bukanlah mudah buat keluarga Eduar Kadir, 60.

Lebih menyedihkan mereka bukan saja membina dua pondok itu daripada papan lapis serta berbumbungkan zink terpakai, tetapi bekalan elektrik dan air juga diperoleh hasil belas ihsan jiran yang menyambungkan kemudahan itu ke rumah mereka.

Disebabkan ahli keluarga yang ramai termasuk seorang warga emas yang mengalami sakit tua dan terlantar, ada antara anak Eduar terutama anak lelaki tidur di tembok jambatan berkenaan beralaskan papan, tikar serta barang terpakai lain.

Situasi itulah yang dilalui keluarga Eduar sejak lima tahun lalu di situ.


EDUAR keluar pada waktu pagi untuk mencari rezeki bagi menyara anak dan cucunya. FOTO Muhammad Sulaiman

Kehidupan mereka bagaikan seperti kais pagi makan pagi. Malah, Eduar menyatakan mereka memerlukan sekurang-kurangnya tiga kilogram beras untuk hidangan sehari.

“Saya tinggal bersama isteri, Azizah Busu, empat anak, empat anak tiri, lima cucu, seorang menantu dan pak cik isteri yang sudah uzur.

“Kita perlukan beras sekurang-kurangnya tiga kilogram sehari namun ada ketika kita hanya makan bubur dengan garam apabila saya tiada duit,” katanya.

Empat anaknya berusia 18 tahun, kembar 15 tahun dan bongsu 13 tahun.

Bagaimanapun, anak sulungnya mengalami masalah sakit jantung menyebabkannya tidak boleh bekerja.

Azizah, 50, pula tidak bekerja kerana menguruskan anak, cucu serta pak ciknya yang uzur.


ERMIDA bersalaman bersama bapanya, Eduar sebelum pergi ke sekolah. FOTO Muhammad Sulaiman

Menurut Eduar, memang perit kehidupan mereka namun dia percaya ada yang lagi susah daripada itu.

“Hidup kami memang serba kekurangan. Walaupun kadangkala hanya makan bubur campur garam, kami bahagia.

“Kami tidak pernah meminta, tetapi masih bersyukur ada insan prihatin yang kadangkala memberi sedekah seperti barangan keperluan harian dan pakaian,” katanya.

Dia sangat terharu dengan keluarga nelayan berhampiran pondoknya yang sanggup menghulurkan bekalan elektrik dan air.

“Selama enam bulan kami hidup tanpa bekalan elektrik dan air ketika mula mendirikan pondok ini. Alhamdullilah, kami tidak sangka keluarga nelayan berhampiran membantu kami dengan menyalurkan kemudahan itu.

“Jika tidak tentu kami masih menggunakan air sungai serta hidup dalam keadaan gelap-gelita,” katanya.


EDUAR menunjukkan kesan kemalangan yang mengakibatkan sebahagian jarinya putus. FOTO Muhammad Sulaiman

Apa yang paling dikagumi pada usianya menjangkau 60 tahun, Eduar tabah melakukan dua kerja bagi mencari sesuap nasi untuk menyara ahli keluarganya.

“Sesudah solat Subuh saya keluar mencari barang lusuh untuk dijual sehinggalah petang. Jika ada kerja kontrak (memasang cerucuk) saya pergi. Mahu ke tempat kerja saya berjalan kaki dan kadang-kadang orang tumpangkan,” katanya yang bersyukur dengan bantuan itu.

Menceritakan kehidupan sebelum ini, Eduar bekerja kontrak dengan pendapatan kira-kira RM90 sehari mengikut lokasi projek namun semakin berkurangan ketika ini.

“Sebelum ini, kami anak beranak tinggal di rumah flat tidak jauh dari sini dengan bayaran sewa RM400 sebulan.

“Oleh kerana kos semakin meningkat dan kerja kontrak ini semakin kurang, kami keluar dari rumah sewa berkenaan dan membina rumah di bawah jambatan ini,” katanya.

Dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM30 sehari hasil kerja mencari barang lusuh dan sering menggunakannya untuk membeli beras dan garam.

“Saya masih ingat lagi pesanan nenek yang menasihati saya beras dan garam sangat penting. Jika tidak mempunyai lauk boleh dibuat bubur dengan perencah garam. Gas untuk memasak pun ada orang sedekah.

“Lauk kami tak mewah. Ia cukup untuk kami mengucap syukur dengan rezeki yang ada. Kadang-kadang ada rezeki lebih nelayan sedekah ikan,” katanya yang sentiasa mendoakan mereka yang sentiasa menghulurkan sedekah dimurahkan rezeki.


EDUAR (kanan) meluangkan masa dan berehat bersama isteri, Azizah (dua kanan) serta anak dan cucunya di kediamanya. FOTO Muhammad Sulaiman

Sementara itu, Azizah berkata, dia sangat menyanjungi kerja keras suaminya.

Dia dikurniakan lima anak sebelum kehilangan suami pertamanya dan berkahwin Eduar sehingga mempunyai empat anak.

“Saya sudah berkahwin dengannya 18 tahun. Walaupun tidak mewah, semuanya cukup untuk kami anak beranak. Tanggungjawabnya sebagai suami juga tidak pernah diabaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 2:50 PM
KEADAAN rumah papan yang menempatkan penghuni di bawah jambatan. (Gambar kecil) Eduar Kadir (kanan) bersama Azizah (dua kanan) serta anak dan cucunya. STR/MUHAMMAD SULAIMAN