Nik Aini Sofya
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


HATI ibu mana yang tidak gundah apabila melihat anaknya yang baru berusia lapan tahun seringkali merengek tidak selesa dan kesakitan akibat penyakit radang kulit atau Epidermiolysis Bullosa yang dihidapinya.

Jika boleh mahu saja Nik Melisa Mahadi, 31, menanggung segala derita yang terpaksa dilalui anaknya, Nik Aini Sofiya Nik Mohd Kamaruzaman, 8, lebih-lebih lagi melihat keadaan badan anaknya yang mengalami luka.

Penyakit itu menyebabkan pergerakan Nik Aini dari Kampung Paya Rajin, Jerantut menjadi terhad malah terlalu sensitif kepada cuaca panas dan lembap.

Nik Melisa berkata, anaknya menghidapi penyakit itu sejak lahir dan dia memerlukan rawatan rapi bagi mengelakkan luka pada badannya merebak dan serius.

“Jika tidak dipantau secara rapi, luka-lukanya akan mudah merebak dan menjadi lebih teruk. Sekarang ini dia masih boleh bersekolah dan belajar seperti kanak-kanak lain.

“Namun pergerakannya sangat terhad sama ada di sekolah atau di rumah, tidak boleh terlalu lama berada di luar rumah,” katanya.


Shamsul Anuar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nik Aini Sofya di Kompleks Yayasan Pahang. FOTO Asyraf Hamzah

Nik Melisa berkata, dia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 sebulan bagi membeli ubat sapu khusus untuk merawat dan menghalang dari luka anaknya merebak.

Hatinya juga diselubungi kebimbangan melihat keadaan Nik Aini Sofiya memandangkan anak sulungnya juga sebelum ini turut menderita penyakit sama dan meninggal dunia pada usianya enam tahun.

Nik Melisa hadir ke Kompleks Yayasan Pahang untuk menerima sumbangan bagi membuka akaun Tabung Haji daripada Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) sempena jelajah UMNO Bantu Rakyat, hari ini.

Sementara itu, doktor yang merawat Nik Aini Sofiya menjelaskan adalah sukar untuk kanak-kanak itu pulih sepenuhnya.

Dr Erhan Rahimi berkata, penyakit kulit dihidapi kanak-kanak itu jarang ditemui di Malaysia.

“Jika kita teliti luka-luka pada kulitnya, ia sudah merebak di seluruh badannya. Radang kulit ini berpunca dari faktor genetik dan ia sukar untuk pulih sepenuhnya, ia juga boleh mengganggu proses pembesaran seseorang kanak-kanak itu.

“Penghidap penyakit ini menjadi sensitif kepada persekitaran, mudah mengalami demam, selsema dan radang paru-paru,” katanya.

Beliau menambah, penyakit seumpama itu juga tidak akan menjejaskan organ lain, hanya merebak di lapisan kulit saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 8:20 PM