Mohamad Hafiz hafal 30 juzuk al-Quran Mac lalu. FOTO Fathil Asri dan Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Siti Nadzirah Che Mud


"ANAK saya selesai menghafal 30 juzuk al-Quran Mac lalu dan arwah kelihatan ceria kerana berjaya menghafal dalam masa empat tahun.

"Pusat Tahfiz Al Hashimi, Tualang membuat majlis khatam al-Quran seminggu sebelum Ramadan yang turut menjemput semua ahli keluarga," kata Sabariah Saari, 50, ibu kepada Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, yang meninggal dunia selepas van dinaiki terbabas merempuh rumah kejadian di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai, 9 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, tujuh pelajar berusia 14 hingga 18 tahun maut iaitu lima di lokasi kejadian dan dua lagi di Hospital Kuala Krai (HKK) akibat parah.

Sabariah berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak ketujuh daripada sembilan beradik itu Jumaat lalu selepas dia pulang untuk bertemu keluarga sebelum sambutan Ramadan.

"Ketika di rumah anak banyak menghabiskan masa dengan mengemas. Sepanjang di rumah saya mengambil peluang solat berjemaah bersama anak dan Qiamullail.

"Anak saya seorang yang pendiam dan dia banyak menghabiskan masa dengan menghafal al-Quran," katanya ketika ditemui di HKK, di sini, hari ini.

Sabariah berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas ustaz pusat tahfiz menghubungi sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan jenazah anak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kawasan Tahfiz Al Hashimi, petang ini," katanya.

Sementara itu, Hasmah Hussin, 48, ibu kepada Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16, berkata, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang ke rumah Jumaat lalu.

Katanya, ketika anaknya pulang ke rumah mereka sembahyang berjemaah bersama-sama seperti biasa.

"Saya terkejut selepas dimaklumkan anak terbabit dalam kemalangan pagi tadi menerusi pesanan menerusi WhatsApp oleh rakan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya dimaklumkan anak bersama ustaz dan rakan-rakannya dalam perjalanan ke Program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu," katanya.

Hasmah berkata, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu belajar di Tahfiz Al Hashimi sejak lima tahun lalu.

Keterangan gambar:

1.Hasmah Hussin, 48, (kiri) ditenangkan oleh ahli keluarga.

2.Antara ahli keluarga mangsa yang hadir di Unit Forensik.

3.Jenazah salah seorang pelajar yang maut dibawa ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 11:07 PM