Hadzlihady Hassan


PEMANDU Uber berusia 29 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul seorang wanita warga Vietnam.

Selain itu, suami wanita Vietnam berkenaan turut ditahan polis bagi membantu siasatan kerana merusuh dan kedua-dua mereka direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu Uber berkenaan mencabul mangsa, Selasa lalu.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi mangsa pada malam kejadian membuatkan wanita terbabit bimbang dan menceritakan kejadian itu kepada suaminya.


ANGGOTA polis mengiringi pemandu Uber untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Georgetown bagi membantu siasatan dakwaan cuba mencabul penumpang wanita warga Vietnam. FOTO Danial Saad

"Suaminya kemudian meminta mangsa menghubungi lelaki terbabit, semalam, kononnya hendak menggunakan khidmat Uber.

"Namun, sebaik tiba pemandu Uber itu dipukul suami mangsa dan juga beberapa rakannya," katanya.


ANGGOTA polis mengiringi tiga lelaki untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Georgetown bagi membantu siasatan dalam kejadian pemandu Uber dibelasah lebih 10 lelaki selepas didakwa cuba mencabul penumpang wanita warga Vietnam. FOTO Danial Saad

Anuar berkata, polis juga sedang mengesan beberapa lagi rakan kepada suami wanita terbabit bagi membantu siasatan kerana memukul mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 12:41 PM