Danny dihukum penjara 20 tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah

KERANI kewangan sekolah agama dihukum penjara 20 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas mengaku salah atas dua pertuduhan merangsang dua kanak-kanak lelaki untuk melakukan kelucahan melampau antara Mei hingga Ogos tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Danny Jaudik, 24, yang berasal dari Keningau dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari 10 Ogos tahun lalu.

Menurut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan rangsangan terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau dengannya di pejabat kerani kewangan dan perkarangan di sekolah agama terbabit di Manggatal antara Mei hingga 8 Ogos tahun lalu.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah dan tertuduh diwakili peguam Timothy Daut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 3:43 PM