Hanafis Abd Haris dan Razif Rosli


BUBUR lambuk 'Pamoga' menjadi antara juadah istimewa pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2017 sempena Ramadan yang berlangsung di Masjid Jamek Baru Gopeng, Perak, hari ini.

Nama ‘Pamoga’ itu diberikan sempena tajaan Vida Beauty pada program TKHM yang berlangsung dua hari bermula hari ini.

Bubur berkenaan dimasak secara bergotong-royong oleh 50 ahli Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Parlimen Gopeng seawal 10 pagi sebelum diedarkan di Bazar Ramadan Gopeng, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Balai Polis Gopeng.

Pengerusi PITKM Parlimen Gopeng, Hamidah Fakir Mohd berkata, resipi bubur lambuk itu menggabungkan dua jenis bahan iaitu daging dan udang kering.

"Bahan lain sama saja namun rasanya lebih sedap kerana dua bahan digabungkan dan ini adalah resipi yang boleh menaikkan keenakan rasanya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TKHM, Othman Mamat berkata, selain memasak bubur lambuk, seramai 201 anak yatim dan anak asnaf terpilih dibawa membeli-belah di Pasaraya Giant Kampar.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Dahikmah Kampung Sungai Itek, Sekolah Kebangsaan (SK) Gopeng, SK Jalan Ilmu Kopisan Baru Gopeng, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, SMK Seri Teja dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng.

Menurutnya, mereka dikumpulkan di masjid Jamek Baru Gopeng sebelum dibawa dengan menaiki bas ke Pasaraya Giant Kampar untuk memilih sendiri pakaian serta barangan raya.

“Bagi program esok pula, semua penerima sumbangan akan berbuka puasa di masjid ini dengan beberapa juadah istimewa. Antaranya, Sup Qu Puteh, gulai kerbau dan beberapa lagi jenis makanan yang lain.

"Kami berharap apa yang dilakukan menerusi TKHM ini dapat menceriakan mereka pada bulan mulia ini sekali gus menjadikan sambutan Hari Raya lebih bermakna," katanya ketika ditemui di pasar raya berkenaan.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang juga penaja utama program itu.

Vida sempat meluangkan masa hampir 30 minit beramah mesra dengan anak yatim dan golongan asnaf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 8:40 PM
Ahli PITKM Parlimen Gopeng bergotong-royong menyiapkan bubur lambuk Pamoga. FOTO Asyraf Hamzah