Sith dan Siti Latifah akhirnya bertemu jodoh.FOTO ihsan Sith
Mohd Hanafis Abd Haris


“TAK sangka insan yang bergambar dengan saya 18 tahun lalu itu adalah 'tulang rusuk' dan jodoh saya. Lebih manis kenangan terindah itu diambil ketika Aidilfitri,” kata Sith Ismail berhubung gambar bersama isterinya Siti Latifah Yunos, 28, yang diambil secara tidak sengaja ketika masing-masing berusia 9 dan 11 tahun.

Sith berkata, gambar berkenaan diambil ketika mereka menghadiri majlis ziarah marhaban di rumah rakannya di Kampung Separap, Batu Pahat, Johor.

Menurutnya gambar itu diambil secara spontan bersama sepupu dan beberapa lagi rakan mereka.

"Namun ketika itu masing-masing masih lagi kecil, langsung tidak fikir apa-apa apatah lagi jatuh cinta,” katanya.

Menurutnya, kewujudan gambar terbabit mula disedari pada 2015 selepas beberapa minggu mereka berkahwin.

“Ketika itu isteri tergerak hati untuk keluarkan semua simpanan gambar-gambar lama saya. Namun sebaik melihat gambar kami berdua itu, dia ketawa.

“Dia tanya saya adakah saya kenal orang di sebelah saya. Saya pula hanya mampu tercengang ketika itu.

Saya langsung tidak menyangka kanak-kanak perempuan itu adalah isteri saya sekarang,” katanya.

Menurutnya, setiap kali tibanya Aidilfitri dia pasti akan terkenangkan gambar terbabit kerana ia diambil ketika perayaan berkenaan.

"Tradisi ziarah rumah ke rumah atau dikenali sebagai Marhaban ini memang amalan tradisi penduduk Johor. Disebabkan itulah setiap kali tibanya raya, saya akan teringat peristiwa manis itu.

“Namun setiap kali saya teringat kenangan itu, setiap kali itu jugalah saya tersenyum seorang diri. Tidak sangka jodoh saya selama ini ada di sebelah saya saja,” katanya yang beraya di Parit Sulong, Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 11:00 PM