Mazizul Dani


“Ratu (Elizabeth) berminat untuk mendengar sedikit mengenai keluarga dan pengajian yang membawa anda ke sini (United Kingdom) dari Malaysia. Malangnya, disebabkan jadual yang sangat padat, baginda tidak dapat bertemu dengan ramai orang yang berhasrat untuk bertemu dengannya.”

Itu antara kandungan surat daripada Istana Buckingham diterima penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di University of the West of England, Bristol, United Kingdom, Ajlaa Shazwani Mokhtar, 31, yang juga ibu kepada tiga anak.

Surat balasan itu diterima 20 Jun lalu selepas dia mengutuskan surat kepada Ratu Elizabeth pada 9 Mei semata-mata mahu memenuhi impian anaknya, Wan Damia Zahraa Wan Faizul, 6, (Damia) dan Wan Bella Zakiyah Wan Faizul, 4, (Bella) yang ingin bertemu dengan pemerintah Britain itu.

"Segalanya bermula apabila Damia dan rakan sekelasnya di Wheatfield Primary School menulis surat ucapan Hari Ulangtahun Kelahiran ke-90 Ratu Elizabeth II pada April tahun lalu dan kemudian mereka menerima surat ucapan terima kasih daripada baginda," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sejak itu, Damia dan Bella kerap mengatakan hasrat untuk bertemu dengan pemerintah Britain itu, katanya.

Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, Damia dan Bella semakin bersemangat untuk bertemu Ratu Elizabeth II selepas menonton program televisyen tahun ini dan mendapat tahu pemenang diberi peluang membuat persembahan di hadapan Ratu Elizabeth II.

"Ketika sedang menonton Damia datang dan beritahu, ‘Mummy, can we go to that place so we can meet The Queen?’ (Ibu, boleh kita pergi ke tempat itu (Istana Buckingham) untuk bertemu dengan Baginda Ratu?).

"Mula-mula rasa, dah kenapa anak-anak aku ni? Selalu mintak mainan Frozen (filem animasi). Kali ini imaginasi mereka lebih tinggi, nak jumpa Ratu," katanya.

SURAT yang ditulis Ajlaa Shazwani kepada Ratu Elizabeth demi cuba memenuhi impian anak-anaknya. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani
SURAT yang ditulis Ajlaa Shazwani kepada Ratu Elizabeth demi cuba memenuhi impian anak-anaknya. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani

Walaupun dianggap mustahil, Ajlaa Shazwani cuba menunaikan impian anak-anaknya termasuk Bella yang membaca buku kanak-kanak membabitkan Ratu Elizabeth dengan menulis sepucuk surat kepadanya.

"Tulis surat untuk Yang di-Pertuan Agong di Malaysia pun tak pernah, inikan pula menulis kepada kerabat diraja Britain. Jadi saya buat sedikit kajian bagaimana dan apa yang perlu ditulis memandangkan Damia dan Bella berkali-kali meminta saya untuk bertemu dengan Ratu.

"Dalam surat itu, saya ceritakan bagaimana Damia dan Bella bersungguh-sungguh mahu bertemu Ratu dan hidup saya di sini sebagai penuntut di UWE. Jadi bila dapat surat balasan pada 20 Jun lalu, saya cukup teruja, macam tak percaya!" katanya.

Ajlaa Shazwani dan suaminya, Wan Faizul Wan Mohd Razali, 33, sudah menetap di negara itu sejak lima tahun lalu dan mempunyai seorang lagi anak iaitu Wan Fatih Zameer, 2.

SURAT yang diterima Ajlaa Shazwani daripada Istana Buckingham. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani
SURAT yang diterima Ajlaa Shazwani daripada Istana Buckingham. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani

Ajlaa berkata, selepas menerima surat balasan itu, dia kemudian menerangkan kepada Damia dan Bella yang Baginda Ratu terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa bertemu semua orang kerana mempunyai banyak tanggungjawab.

"Mereka okay saja bila saya beritahu yang Ratu sibuk, tak dapat jumpa dengan Damia dan Bella. Mereka tidak kisah, asalkan dapat melawat Istana Buckingham. Saya cadang kemungkinan antara hujung Julai dan awal Ogos nanti.

"Walaupun tidak dapat bertemu Ratu tetapi mendapat surat balasan daripadanya sudah cukup menggembirakan hati saya dan anak-anak," katanya yang melaksanakan kajian bertajuk Wanita Dalam Pengurusan Tertinggi di Malaysia untuk pengajian PhD.

AJLAA Shazwani (duduk, kiri) bersama suami, Wan Faizul dan tiga anak meraikan Aidilfitri di Bristol, United Kingdom bersama ibu bapanya. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani
AJLAA Shazwani (duduk, kiri) bersama suami, Wan Faizul dan tiga anak meraikan Aidilfitri di Bristol, United Kingdom bersama ibu bapanya. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri pula, Ajlaa Shazwani yang yang sudah lima tahun tidak beraya di Malaysia meraikan Syawal kali ini bersama kedua ibu bapanya yang tiba di sana sejak 21 Jun lalu.

“Raya tahun ini agak ‘special’ bagi saya kerana berpeluang beraya bersama ibu dan ayah saya. Sejak duduk di sini, dah dua kali beraya bersama mereka. Pertama kali semasa Bella lahir iaitu pada 2013. Alhamdulillah.

“Saya tak pasti perasaan suami macam mana sebab dia sudah lima tahun tidak beraya bersama keluarga. Saya rasa dia sedih tetapi lelaki mana nak tunjuk sangat kan. Nak-nak duduk jauh macam ini,” katanya.

Lebih menarik pada tahun ini, mereka sekeluarga turut menyambut hari lahir Damia yang kelima pada 25 Jun lalu bertemakan ‘Beauty and The Beast’ sambil tetamu daripada pelbagai negara dihidangkan dengan rendang daging, kuah kacang, ayam masak merah, soto ayam, nasi impit, nasi putih, kek lapis Sarawak dan kuih-muih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 9:57 PM
WAN Damia Zahraa (kiri) dan Wan Bella Zakiyah menunjukkan surat yang diterima dari Istana Buckingham. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani
WAN Damia Zahraa (kiri) dan Wan Bella Zakiyah menunjukkan surat yang diterima dari Istana Buckingham. FOTO ihsan Ajlaa Shazwani