Keadaan Muhammad Aniq yang menerima rawatan akibat melecur terkena air rebusan ketupat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, Bukit Palah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


BAYI lelaki berusia 10 bulan melecur lebih 50 peratus selepas terkena air rebusan ketupat dalam kejadian Sabtu lalu.

Difahamkan, insiden menimpa Muhammad Aniq Mohd Sharudin berlaku di rumahnya di Ayer Keroh.

Ketika kejadian Muhammad Aniq dikatakan berada di dalam kerusi jalan bayi (walker) sebelum mencapai periuk rebusan ketupat dan tertumpah ke badan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan dipantau rapi oleh doktor.

“Keadaannya sudah stabil bagaimanapun masih lagi tidak sedar kerana dibawa pengaruh ubat.

“Kemalangan ini tidak dijangka dan diharap dia dapat sembuh dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas melawat bayi berkenaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Idris turut mengingatkan ibu bapa sentiasa memberi perhatian penuh kepada anak.

"Saya juga menyeru agar sama-sama kita mendoakan kesembuhan bayi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 5:30 PM