Gudang menyimpan barangan lusuh di Kawasan Perindustrian Senai 3, Johor, yang terbakar hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBUAH gudang menyimpan barangan lusuh yang dipercayai turut menyimpan mercun di Kawasan Perindustrian Senai 3 dekat Senai, Johor, terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira 5 petang itu tular di Facebook (FB) apabila orang ramai seolah-olah melihat pertunjukan bunga api dengan beberapa letupan ketika kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Solleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.19 petang dan enam anggota digerakkan ke tempat kejadian.

“Kita juga mendapatkan bantuan lima anggota BBP Kulai dan enam anggota BBP Skudai dalam operasi pemadaman kebakaran itu.

“Operasi pemadaman masih dijalankan dan kilang yang juga stor simpanan barang lusuh dipercayai ada menyimpan mercun.

"Buat masa ini, kita masih menumpukan kepada pemadaman api bagi mengelak ia merebak ke kilang bersebelahan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said mengesahkan kebakaran kilang itu, namun masih menunggu pihak bomba memadamkan kebakaran sebelum membuat sebarang siasatan.

"Jangan buat sebarang andaian terlebih dahulu, biar bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran, nanti kita jalankan siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 7:10 PM