Bengkel yang dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan pembaca
Bengkel yang dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENJENAYAH yang memecah masuk sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kadok, Kota Bharu, Kelantan, jam 5 pagi tadi, turut melarikan empat kereta milik pelanggan.

Selain itu, penjenayah turut melarikan pelbagai peralatan membaiki kenderaan bernilai lebih RM6,000.

Pengurus bengkel, Mohd Amin Azmi, 20, berkata, kejadian disedari pekerja, jam 9 pagi yang datang untuk membuka pagar sebelum memaklumkan kepadanya.

“Pemeriksaan mendapati empat kereta pelanggan jenis Chevrolet Cruze, Peugeot 207, Proton Perdana V6 dan Honda Civic yang diletak dalam bengkel hilang.

“Saya kemudiannya melaporkan kejadian di Balai Polis Ketereh, jam 10 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 8:41 PM