AHMAD Razif (lima dari kiri) merasmikan Majlis Penyerahan dan Perarakan Obor KL2017 peringkat negeri Terengganu di Kuala Besut, semalam.
BERNAMA

Besut: Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan kini tiba di Terengganu dengan disambut meriah bersama iringan kereta kuda.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menerima obor acara itu daripada Ketua Bahagian UMNO Pasir Puteh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Kelantan Datuk Zawawi Othman di pintu gerbang sempadan Kuala Besut, Kampung Panchakan, Pasir Puteh kira-kira pukul 2.45 petang semalam.

Ahmad Razif sempat berlari membawa obor itu sejauh 50 meter sebelum dibawa menaiki kereta kuda dan disambut 2,000 orang di Dataran Muara Kuala Besut.

“Terengganu akan membawa (obor) ke semua lapan daerah hingga ke destinasi terakhir iaitu Kemaman pada 24 Julai ini. Seramai 71 atlet Terengganu yang mewakili negara juga akan turut sama menyertai acara ini. Keunikan gimik ini nanti adalah obor ini akan dibawa melalui laluan laut iaitu dengan menyelam (skuba driving) di Pulau Perhentian esok,” katanya.

Ahmad Razif berkata, temasya Sukan SEA mampu memupuk semangat solidariti dan cintakan tanah air yang tidak berbelah bagi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 8:49 AM