Hadzlihady Hassan


KETUA pegawai eksekutif Zakat Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini, atas pertuduhan menerima barang berharga tanpa balasan .

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Azman Abdul Samat, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dia depan Hakim, Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menerima jam tangan jenama Cerutti bernilai RM1,280 daripada Zaiyusri Ibrahim, pemilik Syarikat Safa Murni Enterprise, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di Pusat Latihan Zakat (PULAZA) dalam Daerah Barat Daya, pada Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Norsalha kemudian membenarkan Azman dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Azman diwakili peguam Mohamed Reza Rahim dan N Rajivan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 11:38 AM
SPRM Negeri Pulau Pinang mengiringi Azman (tengah) ke Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO Ramdzan Masiam