Mohd Hanafis Abd Haris


SERAMAI 483 jemaah haji menjadi kumpulan pertama berangkat ke Tanah Suci menaiki penerbangan MH8000 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 5.50 pagi ini.

Kumpulan pertama itu adalah sebahagian jumlah keseluruhan 30,200 jemaah yang bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata semua jemaah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Abdulaziz, Madinah, kira-kira 10 pagi (waktu Arab Saudi).

"112 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa 30,200 bakal haji ke Tanah Suci menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Flynas.

“Penerbangan terakhir ke Tanah Suci bagi jemaah Malaysia ini adalah pada 26 Ogos," katanya.

Beliau berkata, bakal jemaah dinasihatkan supaya memberi tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadah dengan sempurna bagi memperoleh haji mabrur.

"Jemaah juga dinasihatkan menjaga nama baik Malaysia dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang Kerajaan Arab Saudi supaya hubungan baik antara kedua-dua negara dapat dikekalkan," katanya.

Terdahulu, Azeez meluang hampir 30 minit memberi taklimat kepada jemaah di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sebelum kesemua bakal haji berlepas ke KLIA menaiki 10 bas, pada kira-kira 3 pagi.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah.

Semua jemaah haji Malaysia dijadualkan pulang ke tanah air pada 7 September.

Penerbangan terakhir dari Arab Saudi pula adalah 4 Oktober depan.

Berita berkaitan

160 jemaah haji Kelantan ke Madinah

Proses agak lama, tolong rehat secukupnya

Naik 'four-wheel' ke Makkah

Bumi barakah

Bumi barakah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 7:17 AM
FOTO Mohd Hanafis Abd Haris
FOTO Mohd Hanafis Abd Haris