Mayat Mohd Nazri Yaccob dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun. (Gambar kecil) Mohd Shahrin Yaccob, 33, menunjukkan wang sebanyak RM3,965 yang ditemui pada mayat abangnya. FOTO Rosli Ilham
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


MAYAT seorang daripada empat nelayan yang hilang di muara sungai Kuala Dungun, ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, pagi tadi.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat pada 8.50 pagi.

"Mayat disahkan Mohd Nazri Yaccob ditemui Pasukan Sukarelawan Perikanan selepas gerakan pencarian dimulakan semula kira-kira sejam.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya di Pantai Kuala Dungun, Dungun, hari ini.

Ahmad Zailani berkata, turut ditemui, wang tunai berjumlah RM3,965 di dalam poket mangsa.

Dalam kejadian 10 malam Rabu lalu, empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Bagaimanapun, seorang dapat menyelamatkan diri selepas berenang hampir tiga jam ke daratan.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Ahmad Zailani berkata, pasukan penyelamat turut menggunakan tiga bot pukat tunda milik nelayan tempatan untuk mengesan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 11:51 AM